Saya teringat nasihat dr aidh al-qarni dalam bukunya 'fityatun amanu birobbihim'. Dia menekankan bahawa masa muda ini adalah masa yang paling berharga dan pemuda perlu memanfaatkan dengan sebaiknya pada waktu ini. Syadidnya beliau tentang masa sehinggakan beliau tidak bersetuju apabila rijal-rijal mendengar muzik kerana ianya melalaikan.
Mungkin kita pernah mendengar yang mana pada hari kiamat kelak, kita akan ditanya berapa lama kita hidup di dunia dan kita hanya mengatakan cuma beberapa hari dan kita gagal untuk menceritakan segala benda yang telah kita buat di dunia sedangkan dah berapa puluh tahun kita bernafas di muka bumi ini.
Apa yang nak disampaikan di sini ialah setiap perbuatan kita di dunia ini akann dipersoalkan di akhirat kelak. Maka, manfaatkan setiap detik dan denyut nadi kita di dunia dengan menjunjung perintah Allah.
Saya cukup yakin bahawa masa muda merupakan masa yang paling berkualiti bagi setiap individu. Jika nabi muhammad merupakan tokoh terbaik dalam kalangan anbiya', bagi setiap individu pula, masa mudalah waktu paling berkualiti.
Hal ini kerana kita boleh lihat sendiri dari sudut intelek yang mana waktu inilah remaja mampu menggali sedalam-dalamnya ilmu dan menfaqihkan diri kerana belum disibukkan dengan taklifat qiadah misalnya memimpin keluarga.
Kemudian, dari sudut fizikal pula zaman remajalah waktu kita mempunyai tenaga yang banyak untuk menolong orang, berkelana mencari pengalaman dan merantau untuk menuntut ilmu.
Seterusnya, dari sudut rohani pula waktu mudalah rohani kita paling stabil kerana waktu inilah para remaja sedang belajar apa itu spiritual dan bagaimana ingin memantapkan aqidah. Kalau kita lihat pula, remaja lebih tinggi hamasahnya berbanding orang tua dari sudut dakwah. Bak kata orang, darah masih menggelegak.
Begitulah betapa berharganya waktu muda jika diarahkan ke jalan yang betul. Setiap daripada kita diilhamkan sama ada hendak memilih fujur (kejahatan) ataupun takwa (ketakwaan). Cuma bergantung kepada kita sahaja sama ada hendak.memilih pahala atau dosa. Syurga atau neraka.
Rugilah manusia yang gagal mengurus pilihan ini. Kelak, pada usia tua barulah terhantuk kemudian terngadah. Namun, jangan pernah sekalipun kita berputus asa dengan rahmat Allah kerana bila-bila masa sahaja Allah boleh menerima taubat kita.