Friday, December 2, 2011

Didik anakmu...

Minggu lalu ana berkunjung ke rumah seorang sahabat menemani ummi yang mahu mengirim barang kepada kakak ana melalui kakaknya yang akan berangkat pulang ke mesir. Kebetulan kakaknya pulang lambat sedikit. Ana juga berniat menziarahi ibu dan ayahnya yang baru pulang dari menunaikan fardu haji. Sewaktu sampai di rumahnya rupanya sudah ada tetamu lain dan secara kebetulan orangnya kenalan ummi, apalagi rancaklah mereka berbual. Ana hanya mendengar dan sesekali mencelah. Banyak cerita yang dikisahkan, dari cerita anak-anak sampai ke kisah emas dan sebagainya.

Dalam perbualan itu, mereka bercerita mengenai kelas pengajian Al-Quran yang dibuka oleh kedua ibu bapa sahabat ana tadi . Apa yang menyedihkan hati ana, ibunya bercerita ada seorang wanita yang menghantar anak berumur 12 tahun untuk mengajar anaknya mengaji dan mengkhatam Al-Quran dalam masa sebulan. Anak wanita itu baru membaca Al-Quran hingga juzuk 3, bacaannya pun masih belum lancar, huruf pun masih lagi tertukar. Ceritanya, anak itu memang tidak diajar perkara-perkara asas fardu ain dan dia dihantar belajar Al-Quran kerana ibunya mahu menghantarnya ke sekolah berasrama. Mengkhatam Al-Quran dalam masa sebulan bagi orang yang masih merangkak bacaannya bukan perkara yang mudah. Masya Allah, masih ada ibu bapa yang tidak menghiraukan pendidikan agama anak-anak. Kasihan..

Ibu bapa zaman sekarang banyak yang mementingkan dunia semata-mata. Mereka sanggup membayar mahal yuran kelas tambahan untuk anak-anak tetapi tidak pula menghantar anak mengaji Al-Quran. Ada pula yang berpendapat tidak mahu membebankan anak-anak kerana jadual harian di sekolah sudah padat. Bila anak nak melangkah ke sekolah menengah barulah kalut mencari guru untuk mengajar asas fardu ain. Kasihan si anak, umur sudah panjang tetapi masih tidak pandai solat dan membaca Al-Quran. Siapa yang perlu dipersalahkan? Bagi ana ibu bapa patut dipersalahkan kerana mereka merupakan guru pertama kepada anak-anak. Jika ibu bapa tidak mempunyai asas ilmu agama yang baik, seharusnya mereka mencari guru untuk mengajar anak-anak mereka. Hal ini kerana, Rasullulah s.a.w pernah bersabda:

Anak-anak itu suci, ibu bapalah yang mendidiknya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Rasulullah ingin menegaskan kepada kita bahawa ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Di akhirat nanti, setiap manusia akan disoal Allah mengenai tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Lantas, apakah yang akan kita jawab kepada Allah seandainya kita tidak melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak dengan baik. Kita akan rugi di dunia dan akhirat.

Golongan agamawan serta mahasiswa Islam juga seharusnya tidak memandang enteng perkara ini. Anak-anak atau golongan remaja yang tidak mempunyai asas agama perlu diberi perhatian. Kadangkala mereka melakukan kesalahan kerana mereka tidak tahu hukum-hukum agama. Perkara inilah yang menyebabkan berlakunya gejala sosial seperti zina, punk, pengkid, lesbian, gay dan sebagainya. Pendekatan menghukum dan menjauhi golongan ini bukanlah satu cara yang baik untuk mengatasi masalah, bahkan mengeruhkan lagi keadaan. Sebenarnya, golongan ini mahu mempelajari ilmu agama tetapi tidak ada orang yang boleh membimbing mereka dan mereka juga tidak tahu mencari di mana orang yang boleh membawa mereka mengenali Allah. Di sinilah letaknya peranan orang yang mempelajari ilmu agama terutamanya mahasiswa Islam kerana mahasiswa merupakan golongan yang dekat dengan para remaja.

Di sini ana ingin berkongsi cerita. Seorang sahabat ana pernah bercerita pengalamannya sewaktu menghadiri kelas memandu. Dia berkenalan dengan seorang perempuan berusia 27 tahun yang berpewatakan seperti lelaki, rambutnya diparas pendek, memakai kemeja lengan pendek dan berseluar jean. Mereka bersembang sementara menunggu giliran masing-masing. Perempuan tadi yang membahasakan dirinya sebagai kakak bertanya, “Adik belajar di mana?”. Sahabat ana pun menjawab, “di darul quran.” . “ Oh.. Kiranya adik ni mesti pandai agama kan?”, kata kakak itu. Sahabat ana hanya tersenyum. Kemudian sahabat ana bercerita bahawa kakak itu mengaku tidak pandai mandi wajib dan solat. Dia bertanya adakah sahabat saya boleh mengajarnya. Sahabat ana hanya menjawab “Insya Allah”. Dia(kakak tadi) juga mengatakan bahawa dia ingin menjadi seperti sahabat ana. Maksudnya, dia sebenarnya ingin berpakaian seperti sahabat ana yang berjubah dan memakai tudung labuh. Lihat saudaraku, mereka sebenarnya mahukan Islam tetapi tiada orang yang memandu mereka ke jalan Allah. Ketika mendengar cerita ini, hati ana berbaur dengan berbagai perasaan. Terkejut kerana masih ada insan yang tidak mengetahui asas fardu ain, sedih mengenangkan nasibnya yang tidak mendapat bimbingan agama juga diri sendiri yang rasanya masih tidak menyampaikan Islam kepada orang lain dengan baik serta bersyukur kerana Allah masih memberi ana nikmat mengenal Islam. Ana juga ingin bertanya kepada kalian, adakah kita ingin kakak, adik, abang, anak, keluarga kita jadi seperti kisah kakak tadi. Ana pasti jawapannya tidak.

Akhir kalam, ana menyeru kepada semua marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Al-Quran yang bermaksud:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. Surah At-Tahrim (6:66).

Marilah kembali kepada Islam. Islam adalah cara hidup yang sempurna. Bagi yang mempunyai ilmu sampaikanlah walau satu ayat dan bagi yang tidak tahu carilah guru. Kita adalah orang diberi kelebihan oleh Allah untuk menghafaz Al-Quran, justeru pelajarilah ia, hayatilah dan sampaikanlah. Kita juga merupakan orang yang memegang tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah untuk menyebarkan Islam. Ingat! Kita akan disoal Allah bagaimana kita menjalankan amanah ini di akhirat kelak.

Al-faqirah ilallah.. bintu fathani.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...