Friday, December 9, 2011

Recharge Your Days, Energise Your Holiday..!!


“Aku benar-benar akan mengetahui sejumlah kaum dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan seberat Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya debu yang dihamburkan.”




Tsauban berkata,

“Wahai Rasulullah, gambarkanlah karakter mereka kepada kami, jelaskanlah keadaan mereka kepada kami, agar kami tidak termasuk dari kalangan mereka, sedangkan kami tidak mengetahuinya.”

Rasulullah SAW bersabda,

“Ketahuilah, mereka itu adalah saudara kalian, berasal dari darah daging kalian, bahkan mengerjakan ibadah waktu malam sebagaimana yang kalian kerjakan, tetapi mereka adalah kaum yang apabila bersendiri, mereka melanggar larangan Allah.” [HR Ibnu Majah]

**************

MAKSIAT, senang nak faham kita guna istilah 'penentangan'. Penentangan hanya boleh dikatakan berlaku bila sampainya pengetahuan tentang sesuatu perkara kepada seseorang.. kemudian, dia melakukan sesuatu perkara bertentangan dengan pengetahuannya. Maka itu adalah penentangan,yang secara directnya, itu adalah kemaksiatan.

Jujurnya, itulah kelemahan bagi seseorang yang bergelar Muslim. Bahkan untuk sesiapa je yang bergelar anak Adam.

Bagi seorang huffaz, maksiat seperti zina, couple, minum arak itu sudah pasti kita kena tinggalkan. Cuma, kita juga kena luaskan skop pandangan kita terhadap kemaksiatan itu bukan hanya sekadar kita melakukan perkara-perkara yang berdosa, tetapi jika kita tidak melakukan satu-satu ibadah yang sepatutnya dilakukan, hatta ibadah sunnah sekalipun, kita harus memandangnya sebagai satu kemaksiatan.

Tertinggalnya tahajjud, kita memandangnya sebagai satu bentuk penentangan terhadap Allah. kurangnya bacaan Al-Quran kita melihat sebagai salah satu bentuk penentangan kita terhadap Allah. Tidak solat Dhuha, tidak beristighfar itu sebagai satu bentuk penentangan. Itulah yang sepatutnya! Barulah kemudiannya kita akan terus memotivasikan diri kita untuk menjadi lebih baik dan terbaik!

"Alah, aku solat tahajjud 3 kali seminggu. Ok lah tu. Ada orang tu solat pun tidak."

Ingat tak pesan Rasulullah SAW?

“Dua hal apabila dimiliki oleh seseorang dia dicatat oleh Allah sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama (ilmu dan ibadah) dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohnya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah, lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberi kelebihan.” [HR Tirmidzi]

Tapi, orang kita ni terbalik pula. Dalam hal dunia mereka lihat yang lebih tinggi, lebih kaya dari mereka, kemudian berlumba-lumba ke arah itu sehingga dia tidak mampu mengenal apa itu erti syukur. Dalam hal akhirat, mereka lihat orang yang paling bawah, yang paling teruk ibadahnya, lepas itu bangga dia lebih bagus.

Setiap di antara kita ada kisah hitam masing-masing. Sama ada masih berkarat atau tidak, itu hanya kita yang tahu. Sebijak mana sekalipun kita sembunyikan ia terhadap manusia, kita tidak akan pernah dapat menyembunyikan ia daripada hati kita, dan juga dari Allah, pencipta diri kita dan hati kita.

Jauhi maksiat. Cukuplah dengan apa yang telah kita lakukan...
Susah? Itu sudah pasti! Kalau tidak, takkan Allah pesan pada kita,

"Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi, jika kamu orang-orang yang beriman" [QS Ali 'Imran, 3:139]

Allah menasihatkan kita sedari awal lagi tentang rasa lemah dan sedih hati ini di dalam Al-Quran, kerana apa? Kerana perkara itu pasti akan berlaku bagi mereka-mereka yang mengatakan mereka mahu beriman! Sebab itulah Allah beritahu kepada kita, agar kita bersiap siaga dalam menghadapinya. Bukan hanya menantikannya.

Jangan sampai kita terperdaya dengan “kesabaran” Alah terhadap kita. Jangan menganggap remeh pengawasan Allah terhadap diri kita.

Iman perlu dilatih. Komitmen dan istiqomah perlu dilatih. Keikhlasan perlu dilatih. Semuanya perlu latihan. Latihan sudah pasti memerlukan usaha dan semangat untuk tidak putus asa.
Tinggalkan sahaja maksiat itu! Takkan ruginya..bahkan kita akan merasai kemanisannya!

Nikmat kemaksiatan itu hanya sementara. Tetapi, nikmatnya syurga dan wajah Allah itu kekal selamanya!

“Surga ditutupi (dihijab) dengan hal-hal yang dibenci, dan neraka ditutupi dengan syahwat.”
[HR Bukhari]


Mujahadahlah sikit..!

Kita sama-sama berdoa kepada Allah agar diri saya dan diri antum tak termasuk dalam golongan yang disebutkan Rasulullah tadi..
“....mereka adalah kaum yang apabila bersendiri, mereka melanggar larangan Allah..”

***************

Orang selalu tanya,

"Bilakah waktu yang paling afdhal untuk saya bertaubat?"

Jawapannya mudah.

I N I L A H M A S A N Y A..

tapi bila??

S E K A R A N G !!!


Kutip ibrah dari Allah dan Rasul-Nya..

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." [QS Al-Hadid, 57:16]



“Barangsiapa yang menginginkan doanya dimakbulkan pada saat susah,maka perbanyakkanlah doa pada saat senang








~Inilah Masanya.htm~

Tuesday, December 6, 2011

Takwa satu entiti berharga




Bismillahirrahmanirrahim.

Ini kali pertama rasanya diri ini menintakan apa yang terlintas di fikiran di laman sesawang ini.Dalam kerakusan politikus memanipulasi media massa,lautan sesawang dan juga termasuk blog menjadi tempat rujukan masyarakat dan remaja yang semakin hari semakin tidak tertahan dengan suara-suara media arus perdana yang berat sebelah.

Namun,bukan itu yang ingin diperihalkan pada pos kali ini.

Pernah penulis mendengar satu perkongsian ilmu berkenaan satu entiti yang bernama takwa.

Takwa seperti mana yang kita sedia ma'ruf ialah perasaan dan rasa takut yang muncul di hati kita terhadap Allah yakni sama ada takut meninggalkan perintahNya atau takut terlanjur melaksanakan laranganNya.

Itu yang biasa kita dengar.

Hakikatnya,menurut ulama-ulama tasawuf,takwa membawa takrifan individu itu takut apabila melakukan sesuatu yang halal.

Mereka adalah yang takut melakukan perkara-perkara yang halal kerana khuatir segala perkara halal yang mereka lakukan akan terjerumus ke perkara yang haram.

Begitu tinggi sekali pemahaman dan penghayatan yang ditumpahkan oleh ahli-ahli tasawuf dalam menterjemah makna takwa dalam hidup seharian.

Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah orang yang bertakwa.

Ayat itu sering kita dengar tetapi sejauh manakah penghayatan dan pengaplikasiannya dalam kehidupan kita?

Tanya diri masing-masing.

Ada yang nampak takwa itu sekadar surface nya sahaja.

Kalaulah laut sebagai analoginya mereka hanya nampak permukaan laut itu sahaja.

Tetapi ada juga yang nampak erti takwa itu sehingga ternampak ikan di dalam laut tersebut yakni mereka sukses menemui mutiara-mutiara yang terlindung di sebalik takwa tersebut.

Tidak kurang juga ada yang mampu melihat definisi takwa tersebut hingga ke dasar laut sehingga menemukan minyak hitam yang bernama petroleum.

Inilah setinggi-tinggi pemahaman dalam menterjemah maksud takwa tetapi tidak ramai yang mampu sampai ke tahap ini.

Ketahuilah sahabat-sahabat bahawa dengan perasaan takwa inilah yang membuatkan dan memastikan segala inci gerak-geri kita disandarkan dengan konsep ihsan yang mana Allah senantiasa melihat kita dan sebaliknya.

Dengan takwa jugalah segala amalan zahiriah dan batiniah kita dapat dipupuk dan dipelihara.

Kita sedia maklum tidak akan berkumpul perasaan riya' ataupun perasaan ingin melakukan maksiat ketika mana iman berada di dalam diri kita.

Sama-samalah kita bermuhasabah sebelum kita dimuhasabahkan di akhirat kelak.

Monday, December 5, 2011

Mari berakhlak dengan Akhlak RasuluLLah ;)


Akhlak ni, kalau kita nak katakan dalam bahasa orang kampung ana ia lebih kurang macam perangai, hatibudi atau tabiat seseorang manusia itu. ia macam sesuatu perilaku yang spontan. Dan ia bukanlah something yang kita kena buat secara pura - pura or terpaksa. So, dengan kata lain, nan bila kita berakhlak kita tidak akan rasa sakit or terseksa pun. Ni pandangan ana berkenaan akhlak setakat ini. Never mind kalau nak argue pun.

Kalau Imam Ghazali pulak, beliau kata akhlak ni ialah sesuatu yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan - perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.

Dan kalau Dr Ahmad Amin pulak, beliau kata akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan.

So, berpandukan pandangan yang diberikan oleh dua orang tokoh di atas ana rasa orang yang berkhlak tidak akan mencapai keredhaan Allah swt. Kecuali jika seseorang itu berakhlak dengan akhlak Rasulullah. Boleh tak ana kata macam tu? sebab, RasuluLLah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak kita semua. Jadi akhlak yang sedia ada dalam diri kita dan secara historismnya perangai -perangai puak arab 1433 tahun yang lalu masih tidak melayakkan batang tubuh jiwa kita untuk mencapai peradaban manusia yang digelar sebagai umat terbaik.

Saidatina Aisyah RA pernah berkata : "Adapun akhlak Baginda(RasuluLLAH) adalah al Qura'n."
Jadi apakah akibatnya orang tidak belajar daripada alQuran? Mereka akan terkontang kanting dengan sifat semula jadi manusia yang inginkan kemewahan hiburan yang melampau dan malampaui batas disamping tidak pernah berterima kasih mahupun bersyukur.

Tetapi pernah tak kita terfikir siapa yang akan mengembangkan sayap institusi peradaban manusia melalui pencerahan selok belok intipati al Quaran itu sendiri? Pernah tak terfikir bahawa jawapan yang bersifat logistiknya ialah golongan ahluLLAH. Dan siapakah golongan tersebut? Mari kita selami aroma keindahan kata - kata hikmah Baginda saw.

"Sesungguhnya Allah swt mempunyai ahli - ahlinya di dalam kalangan manusia . Maka para sahabat pun bertanya : Wahai Rasulullah saw, siapakah mereka? Rasulullah saw menjawab : Mereka itulah ahli Al Quran, iaitu Ahlullah, dan mereka yang mendalami bidang Al Quran tersebut."
[ Direkodkan oleh Ibnu Majah dalam sunan beliau , hadis sahih]

Maaf sangat - sangat sahabat - sahabat sekalian, ana tak belajar pun hadis ni dan semestinya ana tak reti nak syarah pasal hadis ini. Namun ana rasa tak susah untuk sahabat - sahabat sekalian untuk cuba memahami tuntutan/pengajaran hadis tersebut kan. Hakikatnya sahabat - sahabat sekalian, tanggungjawab kita sangat - sangatlah besar sebagai orang mewakafkan diri dalam perjuangan islam ini. Marilah kita sama berkahlak dengan Akhlak Baginda saw dan menggunakan masa yang terluang dengan semaksimum yang mungkin untuk mencari mutiara - mutiara yang telah Baginda saw wariskan kepada kita. Lantaran itu, bolehlah kita berjuang/berjihad dalam menterjemahkan isi Al Quran kepada masyarakat supaya berakhlak dengan akhlak RasuluLLAH saw. waLLAHua'lam.

~ sayang tanah islam ~

Sunday, December 4, 2011

Tarbiyah Dan Dakwah. Apa Istimewanya Kita???


Tarbiyah Dan Dakwah. Apa Istimewanya Kita???

“TARBIYAH + DAKWAH = TAQWA”



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM....


"Ana nak tanya antum. Apa hebatnya kita ini berbanding orang-orang yang tidak duduk di dalam halaqah ini?", bibir tua itu mengukir senyum. Tersirat.


'Ada sesiapa yang boleh jawab?'



Lalu seorang anak muda bangkit mahu menjawab. 'Ustaz. Pada pandangan ana, kita berbeza kerana kita ditarbiyyah'.


'Lalu, apa yang enta maksudkan dengan tarbiyah itu?'



Terdiam sebentar anak muda itu. 'Ustaz, bagi ana, ana merasakan tarbiyyah itu seperti satu tembok yang memisahkan diri ana dengan orang-orang yang sedang sibuk bergelumang dengan duniawi'.


Semakin lebar senyum si guru tua itu. 'Jazakallah. Bagaimana dengan orang lain?'

'Ana, ustaz'. Seorang pemuda yang lain menggangkat tangan. 'Ana mahu beri pandangan. Ana rasa, kita mulia kerana kita melaksanakan dakwah kerana dakwah inilah jalan hidup para rasul dan orang-orang beriman'. Penuh semangat bicaranya. Semua mata yang berada di bilik kecil itu memandangnya dan mengangguk-angguk tanda setuju dengan bicara anak muda berkopiah coklat itu.


Guru tua itu menarik nafas, mahu menyambung bicara. Riak wajahnya masih tenang seperti tadi.


'Anak-anak ku. Apa mulianya kita ini? Antum kata kita ditarbiyah. Antum kata kita berdakwah. Adakah ini kemuliaan yang sebenar?'

'Mengapa ustaz? Salahkah?', potong seorang pemuda.


'Yalah ustaz. Bukankah Rasulullah s.a.w juga ditarbiyyah? Dan bukankah Rasulullah s.a.w juga berdakwah?',
lelaki yang lain pula menambah.


Guru tua itu senyum sahaja. Matanya memandang wajah bersih anak-anak muda yang berada di sekelilingnya.


'Anak-anakku. Tidak dinafikan, Rasulullah s.a.w juga berdakwah dan Rasulullah s.a.w juga ditarbiyah. Tarbiyah yang direct datang daripada Allah melalui perantaraan Jibril a.s . Rasulalluh s.a.w juga berdakwah, tanpa penat, jemu, lelah, dan putus asa'.

Keadaan sepi sebentar.


'Namun anak-anakku, adakah dakwah dan tarbiyah yang kita lalui ini menjanjikan kemuliaan bagi kita disisi Allah? Tidak. Tidak. Lupakah antum akan apa yang Allah kata tentang kemuliaan? Allah sebut dalam surah al-Hujurat, bahawa sungguh! kemuliaan itu hanyalah bagi orang yang bertaqwa'.


Pemuda-pemuda di sekelilingnya mengaguk-angguk tanda faham. Antara mereka, ada yang mencatat sesuatu.


'Taqwa. Satu perkataan tapi ianya sangat besar maksudnya. Di dalam taqwa lah, wujud dakwah dan wujud juga tarbiyah'


'Tadi, saudara kita ada berkata bahawa kita mulia kerana tarbiyah dan dakwah. Ana terkejut juga sebenarnya. Apakah kita layak mengatakan diri kita, satu produk tarbiyyah sedang kita hanya menjadi taqwa di dalam halaqah ini? Dan apakah kita merasa kita layak mendapat kemuliaan dan taqwa sedang kita hanya berdakwah, dalam HALAQAH ini?'



Anak-anak muda itu senyap. Mereka ternanti-nanti bicara seterusnya dari guru yang sangat mereka kagumi itu.


'Anak-anakku. Apa itu taqwa sebenarnya? Taqwa itu ialah kehidupan kita, bukannya lakonan kita. Taqwa bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat kerana kewujudannya sangat seni dan halus'.

'Ana memetik kata-kata Imam Ghazali tentang akhlak. Akhlak ialah apa yang keluar dari dalam diri kita secara automatik, tanpa perlu kita fikir. Tahukah antum semua, akhlak ini adalah lambang dan bukti wujudnya taqwa?'

Mereka menggangguk.



'Dan, Islam juga bukan satu sandiwara. Ia juga bukan satu aktiviti. Ia adalah cara hidup. Apa yang berlaku sekarang, ana lihat dalam banyak keadaan kita berasa diri kita ini mulia kerana kita join usrah, tabligh atau mana-mana jemaah sedangkan dalam masa yang sama, ketaqwaan kita tidak ditonjolkan'.


'Antum faham tak maksud ana?'


"Kurang faham...", hampir serentak anak-anak muda itu menjawab.


'Beginilah. Antum perlu faham bahawa taqwa itu ialah apa yang perlu ada dalam diri kita setiap saat, bukannya hanya ketika dalam halaqah atau semasa berdakwah. Tidak! Sebaliknya taqwa wajib wujud dalam diri antum setiap saat, setiap masa'.


'Antum tahu apa tuntutan taqwa?'


'Senang nak faham, taqwa memerlukan kepada penghayatan. Dan siapakah qudwah atau model insan bertaqwa? Semestinya Rasulullah s.a.w. Antum lihat sirah. Lihat bagaimana Rasulullah s.a.w berdakwah. Dakwahnya bermacam-macam uslub@cara. Dari sekeras-keras mata pedang, hinggalah kepada selembut-lembut roti yang disuap ke mulut wanita tua dan buta yang mencaci Baginda, dakwah tetap bergerak'.


'Ustaz, boleh cerita tentang wanita Yahudi itu? Ana kurang faham'.


'Wanita Yahudi itu sangat tua dan buta. Tapi, tersangat kuat kebenciannya kepada Rasulullah s.a.w. Setiap hari, Rasulullah s.a.w akan datang kepadanya untuk memberinya makan. Setiap kali itulah, wanita itu akan mengata Baginda kerana dia tidak tahu bahawa yang memberinya makan itu ialah Baginda. Baginda s.a.w sendiri menghancurkan roti di mulutnya sebelum disuap ke mulut wanita itu kerana mahu memudahkan wanita itu makan'.



'Rasulullah s.a.w datang dan melaksanakan perkara yang sama hari-hari. Memberi makan, dan menerima cacian. Tiap kali itu jugalah, Baginda akan tersenyum dan diam. Amalan Baginda berterusan hingga Baginda wafat. Lalu, Saidina Abu Bakar menggantikan Rasulullah s.a.w memberi makan kepada wanita itu. Tapi malang, wanita itu tahu bahawa yang memberinya makan bukan orang yang sama, tapi orang yang lain kerana layanannya tidak selembut layanan Rasulullah s.a.w. Lalu, wanita itu bertanya dimana manusia yang sangat baik yang memberinya makan sebelum ini. Lalu dijawab dalam tangis rindu Saidina Abu Bakar bahawa lelaki itu ialah Rasulullah s.a.w. Wanita itu masuk Islam akhirnya'.



Subhanallah.



'Anak-anakku, untuk kita menegakkan Islam, kita harus terlebih dahulu meleburkan takbur kita. Kita merasa kita hebat kerana kita berilmu. Tidak dinafikan, memang kita alim, banyak ilmu. Tapi apa gunanya alim kita jika diselit takabbur?'


Semua orang tunduk. Bermuhasabah diri.


'Ana berpesan sungguh-sungguh kepada diri ana, jua kepada antum semua. Jangan kita merasa diri kita hebat hingga dengan mudah, kita label orang itu sebagai 'tertutup hati' dan seumpamanya. Seperkara lagi, taqwa itu bukan hanya mesti dilahirkan semasa kita liqo' dan duduk dalam halaqah, sebaliknya ia harus dizahirkan dalam setiap inci perbuatan kita'.


'Ketahuilah juga bahawa bukan amal soleh kita yang memasukkan kita kedalam syurga, sebaliknya yang memasukkan kita ke dalam syurga ialah keampunan dan rahmat Allah. Amal soleh hanyalah kerana perintah Allah. Maka,jangan sesekali kita berasa amal kita ini hebat. Belum tentu'.




'Belum tentu orang yang ditarbiyah dan berdakwah ini baik. Tapi orang yang baik, tentu akan ditarbiyah dan berdakwah. Inilah sebenarnya yang sedang kita cuba lakukan. Moga-moga Allah terima usaha kerdil kita ini'.



Guru tua itu menghabiskan bicaranya. Kelihatan, anak-anak muda disekelilingnya seperti sedang kesedihan, mungkin kerana 'terkesan'. Maka, guru tua itu membacakan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77:



"Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa yang telah Allah kurniakan kepadamu..."



***


Semoga kita semua faham, bahawa agama itu bukannya sesuatu yang sifatnya 'sekejap ada-sekejap tiada'. Agama juga bukan sesuatu yang harus dipakai dalam situasi-situasi tertentu sahaja. Dan agama juga sesuatu yang boleh dijual-jual untuk mendapatkan kemahsyuran atau sanjungan.


Sebaliknya agama ialah pakaian. Maka, tutuplah keaiban diri kita dengan menjadi orang beragama.


Ingat, kita bukan Tuhan yang boleh menghukum orang yang tidak mahu tarbiyah dan tak mahu menerima dakwah. Sebaliknya, kita lihat diri kita. Sejauh mana tarbiyah itu berjaya membentuk kita menjadi hamba.


Sesungguhnya, kita hanyalah makhluk yang asalnya setitis mani...hina..dan akan terus hina tanpa redha-Nya.


Islah nafsak wad'u ghairak...


Edited from http://www.murabbi.net

Saturday, December 3, 2011

Catatan dokumentasi diskusi tarbiyah




CATATAN DOKUMENTARI DISKUSI


Tarikh : 17/11/2011

Hari : Khamis

Tempat : Dewan Baru, Darul Quran

Masa : 9.35 – 11.20 malam

Tajuk : Mafatih Mahabbah.Relevan atau tidak?

Anjuran : Biro Tarbiyah dan Kerohanian IQRaC

Penyertaan : Pelajar IQRaC dan diploma


ELEMEN PERBAHASAN 1 : KONSEP TARBIYAH


Usul 1

-tarbiyah ialah satu penjagaan,pengasuhan dan pendidikan.

-Imam Bukhari dalam Al-Anwar At-Tahzil mendefinisikan tarbiyah ialah menyampaikan sesuatu kepada kesempurnaan secara beransur-ansur.

-Al-Asfahani mentakrifkan juga menjadikan ansur-ansur kepada kesempurnaan.

-proses sistematik syumul untuk menghasilkan mukmin yang mempunyai lima ciri :

-mukmin

-muslim

-mujahid

-mutanawwi’in (pelbagai)

-muttaqin


Usul 2

-tarbiyah merangkumi pelbagai aspek,langsung dan tidak langsung dan terkandung hikmah.


Sesi perbahasan :

1 -tarbiyyah untuk jadi hamba dan khalifah.

-elemen penekanan ialah akidah (surah Ibrahim)

-cara berhikmah mengikut alur muwasofat tarbiyah.

-sasaran tarbiyah ialah akal dan rohani

2- -persoalan adakah berkesan penekanan tarbiyah dalam SYABAB kerana impaknya ada yang lari program seterusnya.

3- -persoalan dijawab oleh salah seorang peserta SYABAB:

-pendekatan SYABAB kurang syadid.

-sesetengah peserta memberontak.

-mengutarakan tarbiyyah hanya berkesan pada sesetengah yang faham dan mungkin yang tidak faham boleh guna cara lain yang tidak syadid.


4. -ada pendapat mengatakan mafatih mahabbah untuk semester FIZIQ bahawa kefahaman merupakan elemen penting terhadap konsep tarbiyah itu sendiri.

5. -pendapat lain mengutarakan bahawa tarbiyyah dengan maksud lain adalah memaksa.

-bersetuju dengan pendekatan syadid.

-tarbiyyah bergantung kepada hati,bukan kepada program semata-mata.

-konsep tarbiyyah yang tidak diterangkan di hujung mafatih mahabbah,lambat penerangan mengenai konsep tersebut iaitu menerangkan konsep tersebut hanya pada waktu program seterusnya yakni The Faith merupakan satu masalah.


ELEMEN PERBAHASAN 2 :

KONSEP TARBIYAH DALAM MAFATIH MAHABBAH


Usul 1

-konsep tarbiyah dalam mafatih mahabbah mengajar supaya menyerap tekanan dan dalam masa yang sama membina jati diri individu.

-Sultan Al-Fateh juga dididik secara syadid sewaktu kecil.

-mengusulkan bahawa pendekatan syadid mafatih mahabbah relevan.


Sesi perbahasan :

1. -mafatih mahabbah merupakan ‘first picture’ apa yang bakal dilalui di DQ.

-melatih benda yang susah menjadi sesuatu yang biasa.

-tarbiyyah merupakan sesuatu yang berterusan dan tidak semua tarbiyyah berbentuk syadid.

2. -menekankan mujahadah lin nafsi dalam tarbiyah.

-Nabi tidak pernah menyuruh orang kafir memeluk Islam.Contohnya Nabi hanya menyuruh Bilal bin Rabah mengucap kalimah toyyibah.

3. -berpandangan kesan syadid pada semester IRSYAD ialah pelajarnya menjadi kritis berfikir.

-meyokong pendekatan syadid dan menimbulkan persoalan jika pendekatan syadid pun gagal untuk menjaga DQ apatah lagi pendekatan yang tidak syadid.


ELEMEN PERBAHASAN 3 :

PEMBAWAKAN TARBIYAH RETORIK ATAU BERMANHAJ?


Usul 1

-Mengutarakan bahawa tarbiyah bermanhaj.

-Nabi pernah mengatakan dalam hadisnya, “Tuhan telah mentarbiyahku”

-Mengambil contoh kanak-kanak berumur 10 tahun perlu dirotan sekiranya tidak solat.

-Juga mengambil iktibar sirah yang mana Saidina Ali pada tujuh tahun pertama dididik dengan kasih saying,kemudiannya secara tegas.


Sesi perbahasan :

1. -merujuk makna tarbiyah dalam Al-Quran.Surah Al-Isra’ ayat 24 dan surah As-Syuara’ ayat 18.

-Syed Naquib Al-Attas menggunakan istilah ‘ta’dib’ yang merangkumi semua maksud pendidikan.

-mengatakan bahawa mafatih mahabbah hanya menekankan surface pada aspek haraki.

-mafatih mahabbah tidak perincikan perkara yang asas dalam haraki iaitu fardhu muslim tetapi sebaliknya menekankan daulah.Ini merupakan satu masalah kerana tidak menekankan perkara asas dahulu.

-sokong syadid dalam menta’dib.

-mencadangkan supaya perincikan surface haraki tersebut.

2. -menentang pendekatan syadid bagi yang tidak faham erti tarbiyah.

-kerana impak daripada ketidak fahaman itu pelajar memberontak.

-mengatakan bahawa pendekatan syadid dan mensyadidkan orang lain itu penting.

3. -mengatakan kebanyakan ahli DQ berfikiran negative.

-menyarankan supaya bersikap optimis terhadap program.

4. -mengatakan para sahabat dahulu memahami kalimah toyyibah sedalam-dalamnya.

-menyarankan supaya sedar akan matlamat khusus iaitu melahirkan muslim bertaqwa dan memperjuangkan apa yang difahami.

-dan juga matlamat khusus iaitu menjadi hamba dan khalifah.

-menambah supaya menekankan pemahaman tauhid dan mengikut manhaj nubuwwah.


RESOLUSI


-tarbiyyah adalah apa yang kita belajar untuk mengenal erti hidup.

-tarbiyyah berlaku di mana-mana menurut Said Badiuzzaman An-Nusi.

-tarbiyyahlah yang membezakan manusia dan haiwan.

-pelaksanaan tarbiyyah perlu mengikut tahap.

-mesti ada follow-up.

-Imam Hassan Al-Banna kata jangan bergerak berdasarkan semangat,tetapi bergeraklah berdasarkan kefahaman.

-mengatakan bukan semua lulusan phD memahami erti sebenar perjuangan.Terdapat hadis yang mana barang siapa yang Allah menghendaki seseorang itu untuk faham,maka individu tersebut akan peroleh kefahaman itu.

-menyeru supaya bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

Friday, December 2, 2011

Didik anakmu...

Minggu lalu ana berkunjung ke rumah seorang sahabat menemani ummi yang mahu mengirim barang kepada kakak ana melalui kakaknya yang akan berangkat pulang ke mesir. Kebetulan kakaknya pulang lambat sedikit. Ana juga berniat menziarahi ibu dan ayahnya yang baru pulang dari menunaikan fardu haji. Sewaktu sampai di rumahnya rupanya sudah ada tetamu lain dan secara kebetulan orangnya kenalan ummi, apalagi rancaklah mereka berbual. Ana hanya mendengar dan sesekali mencelah. Banyak cerita yang dikisahkan, dari cerita anak-anak sampai ke kisah emas dan sebagainya.

Dalam perbualan itu, mereka bercerita mengenai kelas pengajian Al-Quran yang dibuka oleh kedua ibu bapa sahabat ana tadi . Apa yang menyedihkan hati ana, ibunya bercerita ada seorang wanita yang menghantar anak berumur 12 tahun untuk mengajar anaknya mengaji dan mengkhatam Al-Quran dalam masa sebulan. Anak wanita itu baru membaca Al-Quran hingga juzuk 3, bacaannya pun masih belum lancar, huruf pun masih lagi tertukar. Ceritanya, anak itu memang tidak diajar perkara-perkara asas fardu ain dan dia dihantar belajar Al-Quran kerana ibunya mahu menghantarnya ke sekolah berasrama. Mengkhatam Al-Quran dalam masa sebulan bagi orang yang masih merangkak bacaannya bukan perkara yang mudah. Masya Allah, masih ada ibu bapa yang tidak menghiraukan pendidikan agama anak-anak. Kasihan..

Ibu bapa zaman sekarang banyak yang mementingkan dunia semata-mata. Mereka sanggup membayar mahal yuran kelas tambahan untuk anak-anak tetapi tidak pula menghantar anak mengaji Al-Quran. Ada pula yang berpendapat tidak mahu membebankan anak-anak kerana jadual harian di sekolah sudah padat. Bila anak nak melangkah ke sekolah menengah barulah kalut mencari guru untuk mengajar asas fardu ain. Kasihan si anak, umur sudah panjang tetapi masih tidak pandai solat dan membaca Al-Quran. Siapa yang perlu dipersalahkan? Bagi ana ibu bapa patut dipersalahkan kerana mereka merupakan guru pertama kepada anak-anak. Jika ibu bapa tidak mempunyai asas ilmu agama yang baik, seharusnya mereka mencari guru untuk mengajar anak-anak mereka. Hal ini kerana, Rasullulah s.a.w pernah bersabda:

Anak-anak itu suci, ibu bapalah yang mendidiknya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Rasulullah ingin menegaskan kepada kita bahawa ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Di akhirat nanti, setiap manusia akan disoal Allah mengenai tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Lantas, apakah yang akan kita jawab kepada Allah seandainya kita tidak melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak dengan baik. Kita akan rugi di dunia dan akhirat.

Golongan agamawan serta mahasiswa Islam juga seharusnya tidak memandang enteng perkara ini. Anak-anak atau golongan remaja yang tidak mempunyai asas agama perlu diberi perhatian. Kadangkala mereka melakukan kesalahan kerana mereka tidak tahu hukum-hukum agama. Perkara inilah yang menyebabkan berlakunya gejala sosial seperti zina, punk, pengkid, lesbian, gay dan sebagainya. Pendekatan menghukum dan menjauhi golongan ini bukanlah satu cara yang baik untuk mengatasi masalah, bahkan mengeruhkan lagi keadaan. Sebenarnya, golongan ini mahu mempelajari ilmu agama tetapi tidak ada orang yang boleh membimbing mereka dan mereka juga tidak tahu mencari di mana orang yang boleh membawa mereka mengenali Allah. Di sinilah letaknya peranan orang yang mempelajari ilmu agama terutamanya mahasiswa Islam kerana mahasiswa merupakan golongan yang dekat dengan para remaja.

Di sini ana ingin berkongsi cerita. Seorang sahabat ana pernah bercerita pengalamannya sewaktu menghadiri kelas memandu. Dia berkenalan dengan seorang perempuan berusia 27 tahun yang berpewatakan seperti lelaki, rambutnya diparas pendek, memakai kemeja lengan pendek dan berseluar jean. Mereka bersembang sementara menunggu giliran masing-masing. Perempuan tadi yang membahasakan dirinya sebagai kakak bertanya, “Adik belajar di mana?”. Sahabat ana pun menjawab, “di darul quran.” . “ Oh.. Kiranya adik ni mesti pandai agama kan?”, kata kakak itu. Sahabat ana hanya tersenyum. Kemudian sahabat ana bercerita bahawa kakak itu mengaku tidak pandai mandi wajib dan solat. Dia bertanya adakah sahabat saya boleh mengajarnya. Sahabat ana hanya menjawab “Insya Allah”. Dia(kakak tadi) juga mengatakan bahawa dia ingin menjadi seperti sahabat ana. Maksudnya, dia sebenarnya ingin berpakaian seperti sahabat ana yang berjubah dan memakai tudung labuh. Lihat saudaraku, mereka sebenarnya mahukan Islam tetapi tiada orang yang memandu mereka ke jalan Allah. Ketika mendengar cerita ini, hati ana berbaur dengan berbagai perasaan. Terkejut kerana masih ada insan yang tidak mengetahui asas fardu ain, sedih mengenangkan nasibnya yang tidak mendapat bimbingan agama juga diri sendiri yang rasanya masih tidak menyampaikan Islam kepada orang lain dengan baik serta bersyukur kerana Allah masih memberi ana nikmat mengenal Islam. Ana juga ingin bertanya kepada kalian, adakah kita ingin kakak, adik, abang, anak, keluarga kita jadi seperti kisah kakak tadi. Ana pasti jawapannya tidak.

Akhir kalam, ana menyeru kepada semua marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Al-Quran yang bermaksud:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. Surah At-Tahrim (6:66).

Marilah kembali kepada Islam. Islam adalah cara hidup yang sempurna. Bagi yang mempunyai ilmu sampaikanlah walau satu ayat dan bagi yang tidak tahu carilah guru. Kita adalah orang diberi kelebihan oleh Allah untuk menghafaz Al-Quran, justeru pelajarilah ia, hayatilah dan sampaikanlah. Kita juga merupakan orang yang memegang tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah untuk menyebarkan Islam. Ingat! Kita akan disoal Allah bagaimana kita menjalankan amanah ini di akhirat kelak.

Al-faqirah ilallah.. bintu fathani.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...